Monday, August 30, 2010
TOPENG UNTUK TIDUR
KUALA TERENGGANU - Seorang pereka muda dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya mencipta sejenis alat yang dipanggil Napping Mask atau topeng tidur sebentar bertujuan memberi keselesaan kepada penumpang yang berada di lapangan terbang.
Muhammad Najibul Muthii Che Ya'acob, 25, yang bertugas sebagai pereka di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK berkata, alat yang diciptanya itu bukan semata-mata sebuah topeng, tetapi mempunyai beberapa fungsi luar biasa seperti alat penggera dan sistem bluetooth.
Katanya, idea penghasilan topeng yang berbentuk topi keledar tercetus selepas dia mendapati ramai penumpang yang mengalami kelewatan penerbangan gagal mendapatkan tidur mencukupi di lapangan terbang akibat tertekan.
Alat yang dihasilkan itu mampu memberi keselesaan kepada pengguna terutama untuk tidur ketika berada di lapangan terbang.
"Setiap daripada kita pasti pernah mengalami kelewatan penerbangan dan jalan terbaik untuk mengisi waktu yang ada adalah dengan tidur.
"Namun, sejauh mana keselesaan yang boleh kita kecapi jika tidur di lapangan terbang," katanya ketika ditemui Kosmo! pada Karnival Malaysia Inovatif 2010 Peringkat Zon Timur di sini kelmarin.
Beliau yang mempertaruhkan ciptaan Napping Mask pada karnival itu telah dipilih selaku pemenang bagi kategori Pereka Muda dan akan mewakili Zon Timur ke Festival Inovasi Peringkat Kebangsaan hujung tahun ini.
Posted by zaleha at 1:21 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment