BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

http://zalehamuda.blogspot.com

YANG TERINDAH...

Monday, February 1, 2010

Kenali Linux menerusi Internet 
Linux adalah sejenis sistem pengoperasian yang telah dibangunkan oleh seorang pelajar dari Universiti Helsinki, Finland yang bernama Linus Torvalds. Kerja-kerja pembangunan bagi sistem pengoperasian ini dimulakan oleh Linus pada tahun 1991 dan beliau melancarkan versi 0.02 pada tahun yang sama. Pada tahun 1994 pula beliau melancarkan versi 1.0 dan seterusnya versi 2.0 iaitu versi yang digunakan sekarang ini.
Sistem pengoperasian Linux ini dibangunkan di bawah GNU General Public License atau Lesen Awam Umum dan kod perisiannya boleh didapati secara percuma oleh sesiapa jua. Namun begitu ini tidak bermakna Linux dan semua variasinya adalah percuma kerana sesiapa yang membangunkan variasi Linux berasaskan kod Linux ini boleh menjualnya secara terbuka. Linux telah digunakan untuk pelbagai kegunaan seperti rangkaian, pembangunan perisian dan platform bagi kegunaan am. Berdasarkan kepada kepelbagaian kegunaan Linux ia agak popular di seluruh dunia dan banyak digunakan oleh para pengaturcara untuk kegunaan peribadi. Malah kini terdapat pelbagai projek untuk memvariasikan sistem pengoperasian Linux bagi membolehkan ia digunakan dengan pelbagai jenis perkakasan.


Berdasarkan kepada kepopularan sistem pengoperasian ini maka terdapatlah beberapa laman Web yang dibangunkan semata-mata untuk berkongsi maklumat tentang variasi Linux dengan pengguna lain. Hampir kesemua laman Web ini membentangkan sejarah Linux dan maklumat am mengenai Linux. Selain daripada itu terdapat juga sebuah laman Web tempatan yang berkisar tentang Linux dan ianya dibangunkan oleh sekumpulan pengguna Linux di Malaysia.
Laman Web seterusnya ialah Linux Documentation Project (http://www.ibiblio.org/mdw/) yang terbahagi kepada General Linux Information, Linux Documentation Project, Linux Development Projects, Commercial Linux Products, Linux Links, Linux Usenet Newsgroups dan LDP Search. Bahagian Linux Documentation Project akan membentangkan maklumat berkenaan projek pendokumentasian Linux seperti panduan, cara menggunakan Linux dan buletin Linux Gazette. Manakala bahagian Commercial Linux Products pula menyenaraikan peta pengedaran Linux, CD-ROM, buku, perisian dan perkakasan serta sistem kelengkapan yang menggunakan Linux.

Laman Web kedua yang kita akan singgah ialah Linux Online (http://www.linux.org/) yang dikatakan laman Web rasmi berkenaan Linux dalam Internet. Laman Web ini mempunyai pelbagai maklumat mengenai Linux, termasuklah senarai pemacu perkakasan dan penjual perisian berasaskan Linux. Laman Web ini juga menyediakan perkhidmatan mendapatkan maklumat berkaitan Linux daripada pelbagai syarikat yang menggunakan atau membangunkan variasi Linux.
Laman Web Linux Online ini terbahagi kepada General Info, Help Center, Distributions, News, Coming Events, User Groups, Applications, Hardware, Projects, Vendors, Services dan Search. Bahagian yang paling menarik adalah General Info di mana terdapat pelbagai maklumat teknikal mengenai Linux dan juga temuramah khas dengan Linus Tervolds. Menurut laman Web ini terdapat seramai 60830 pengguna Linux yang berdaftar dan 28033 buah sistem komputer yang menggunakan Linux. Walaubagaimanapun pengguna Linux yang tidak berdaftar adalah dianggarkan melebihi lima juta orang di seluruh dunia. Menurut laman Web ini juga terdapat 120 pengguna berdaftar di Malaysia dan lebih kurang 30000 pengguna yang tidak berdaftar.
Laman Web seterusnya yang terdapat dalam senarai saya ialah Linux Resources (http://www.linuxjournal.com) yang juga dikenali sebagai The Linux Journal. Laman Web ini terbahagi kepada About Linux, In The News, Support, Community, Business dan Software. Dalam senarai yang disediakan dalam laman Web ini terdapat cara-cara untuk mendapatkan Linux dan variasinya serta beberapa panduan penggunaannya.
Laman Web seterusnya ialah Linux V2 Headquarters (http://www.linuxhq.com) yang memaparkan pengemaskinian perisian sistem operasi Linux, perisian tambahan dan pelbagai variasi perisian tersebut. Dalam laman Web ini anda boleh memindah terima tiga versi Linux iaitu Linux 2.1.95, Linux 2.1.94 dan Linux 2.1.93. Tidak terkecuali anda juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai versi terbaru Linux iaitu versi 2.1.

Seterusnya kita singgah pula di laman Web Red Hat Software (http://www.redhat.com/) iaitu pembangun bagi sistem pengoperasian Red Hat Linux 7.0 iaitu sistem pengoperasian yang telah berjaya memenangi anugerah sistem operasi rangkaian terbaik daripada majalah Infoworld. Syarikat Red Hat adalah sebuah syarikat pembangunan perisian komputer yang menjual produk dan menyediakan perkhidmatan yang berkaitan dengan Linux.
Syarikat Red Hat ini juga menyediakan perkhidmatan pembangunan perisian berasaskan Linux dengan harga yang berpatutan. Selain daripada itu laman Web ini juga menyediakan maklumat am mengenai Linux, manakala syarikat Red Hat pula menerbitkan buku, perisian applikasi dan bantuan teknikal yang berkaitan dengan sistem pengoperasian ini. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentangnya silalah singgah di laman Web ini.

Selepas itu mari kita singgah di laman Web Linux Now (http://www.linuxnow.com) iaitu sebuah laman Web yang mempunyai simpanan dokumen, panduan pemasangan dan perbandingan sistem pengoperasian. Di samping itu ia juga mempunyai segmen panduan mengenai penggunaan Linux dan sebuah ruang perbincangan bagi para pengguna Linux.
Laman Web yang terakhir untuk anda kunjungi ialah My Linux (http://www.my-linux.org) iaitu laman Web para pengguna Linux di Malaysia. Laman Web ini terbahagi kepada kategori projek, arah Linux, sukarela, sumber, perkhidmatan dan FTP. Laman Web ini masih belum lengkap lagi dan mengharapkan para sukarelawan untuk melengkapkan laman Web ini dengan maklumat terkini serta bahan-bahan yang berkaitan dengan Linux. Jika anda adalah pengguna dan peminat Linux tempatan bertandanglah ke laman Web ini.


Teknologi storan kecil termaju 
Saiz yang besar adalah satu kesalahan besar untuk rekabentuk sebuah peranti kecil. Jika anda ingin membeli kamera digital, PDA atau pemain MP3, anda pasti mahukan saiz yang kecil kerana ia lebih menarik dan mudah dibawa.
Bagi pengeluar saiz yang kecil pasti akan menarik pembeli tetapi ia pasti perlukan storan untuk menyimpan data bagi memberikan kemudahan kepada pengguna. Tidak mungkin ia menggunakan cakera keras atau CD-R atau CD-RW atau cakera Zip kerana saiz storan-storan ini lebih besar daripada saiz peranti itu.
Ada di antara peranti kecil ini menggunakan storan dalaman yang tidak boleh dialih atau ditukar. Biasanya anda hendaklah menyambungkan peranti ini kepada komputer untuk memindahkan data. Ada di antara peranti boleh digunakan dengan storan luar seperti kad memori iaitu sejenis storan cip silikon. Ia tidak meruap dan boleh menyimpan data walaupun bekalan kuasa terputus. Kad memori mudahalih mudah digunakan kerana ia kecil dan ringan serta mudah menyimpan gambar dan fail.
Memori Flash
Kad memori menggunakan memori "flash", di mana ia akan menulis data dalam blok dan tidak dalam bentuk bait-bait kecil. Istilah "flash" adalah merujuk kepada keupayaan kad memori menerima dan membuang kandungannya dengan mudah.
Kad memori pantas dan mampu menulis setengah megabyte sesaat atau lebih dan membaca dengan kepantasan yang sama. Kad memori juga mempunyai rekabentuk yang keras dan tahan lama. Malangnya kad memori agak mahal dan kosnya per megabyte adalah tinggi berbanding dengan cakera magnetik, pita dan media optikal. Kebanyakan kad memori mempunyai ciri yang mengelakkan anda memasukkannya dengan cara yang salah seperti SmartMedia atau CompactFlash. Namun begitu ia boleh mengendalikan voltan yang berlainan iaitu 3, 3.3 atau 5 volt dan anda hendaklah pastikan kad yang anda beli serasi dengan perantinya.
SmartMedia
Kad memori ini mempunyai saiz 0.03 inci tebal, 1.46 inci lebar dan 1.77 inci panjang. Ia merupakan antara yang paling popular di dalam pasaran. Dalam tahun 1999 SmartMedia dipopularkan oleh kamera digital dan pemain MP3. Kad SmartMedia berharga di antara RM120 untuk 8MB, RM240 untuk 16MB, RM380 untuk 32MB, dan RM700 untuk 64MB. Ia merupakan di antara RM11.80 hingga RM14.25 per megabyte walaupun kapasiti kad memori tidak tepat.

CompactFlash keluaran SanDisk adalah sepopular SmartMedia. Kos CompactFlash adalah di antara RM115 untuk 8MB hingga RM610 untuk 64MB (RM9.50 hingga RM14.25 perMB). Kad jenis ini mempunyai kapasiti yang besar seperti kad dari Simple Technology bersaiz 512MB (RM6,000).
CompactFlash

Kad CompactFlash Type I berukuran 0.13 x 1.69 x 1.43 inci. Manakala kad Type II pula adalah lebih tebal iaitu 0.20 x 1.43 x 1.69 inci.(Soket Type II boleh menerima kad Type I). Type II mempunyai kapasiti di antara 16MB hingga 1200MB (bergantung kepada pengeluar). Produk dengan slot CompactFlash adalah seperti kamera digital Nikon CoolPix 990, PDA Compaq iPAQ H3630 dan pemain MP3 RCA Lyra RD2201.
Kelajuan menulis kad memori adalah penting jika anda mempunyai kamera digital dengan imej berkualiti multimegapiksel dan mahukan setiap imej disimpan dengan pantas. Terdapat juga kad CompactFlash yang boleh menulis dengan kadar 150KBps (kilobytes persaat).


Memory Stick
Kad memori keluaran Sony ini juga semakin ramai pengguna dengan penjualan kamera digital Sony semakin meningkat. Kad ini mempunyai saiz 0.11 x 0.85 x 1.97 inci. Kad memori ini mempunyai saiz di antara 8MB dan 192MB serta harganya adalah di antara RM9.00 hingga RM14.00 perMB. Memory Sticks yang lebih besar dan pantas sehingga 1GB masih di dalam pembikinan.
MultiMediaCard
Kad jenis ini telah direka oleh SanDisk dan Infineon di mana ia mempunyai saiz 0.06 x 0.94 x 1.26 inci. MultiMediaCard adalah sesuai untuk peranti kecil. Harga kad ini adalah di antara RM150 untuk 8MB hingga RM600 untuk 64MB. Kad jenis ini terdapat pada kamera digital Panasonic PV-DC3000, pemain MP3 Compaq iPAQ Personal Audio Player PA-1 dan pemain stereo kereta Rockford Fosgate RFXMP3.8.
Secure Digital
Saiz Secure Digital (SD) adalah 0.08 x 0.95 x 1.26 inci dan ia adalah lebih tebal sedikit berbanding dengan MultiMediaCards. Ia mempunyai saiz dan teknologi yang sama tetapi kad SD tidak boleh digunakan pada slot MultiMediaCards. Perbezaan yang nyata pada SD ialah ia boleh mengawal salinan. Antara peranti yang menggunakan SD ialah stereo kereta Panasonic CQ-SRX7000 dan pemain audio Toshiba MEA-110. Palm juga merancang untuk menggunakan SD pada PDA keluaran mereka.
Kad PC
Kad PC ini mempunyai saiz sebuah kad kredit dan ia juga dikenali sebagai kad PCMCIA (Personal Computer Memory Card International Association). Kad PC bersaiz 2.14 x 3.37 inci. Slot kad PC terdapat pada kebanyakan komputer bimbit. Kad PC direkabentuk dengan kuat dan ia lebih kuat daripada cakera keras.
Cakera keras
Tidak semua kad storan mudahalih mempunyai memori dalaman. Ada di antaranya menggunakan teknologi cakera keras. Contohnya Microdrive IBM iaitu cakera keras bersaiz seinci dan boleh dimuatkan pada soket CompactFlash Type II. Microdrive mempunyai kepantasan yang sama dengan kad memori 8MB hingga 64MB. Harga pemacu kecil ini ialah RM930 untuk 340MB, RM1520 untuk 512MB dan RM1860 untuk 1GB. Malangnya cakera keras kecil ini tidaklah setahan kad memori dan ia menggunakan kuasa bateri yang tinggi semasa digunakan.

Katrij
Sama seperti cakera keras, katrij mudahalih memerlukan kuasa bateri lebih daripada kad memori. Katrij juga agak perlahan ketika beroperasi tetapi ia adalah murah berbanding dengan storan yang lain.
Iomega 40MB cakera Clik! tidak berapa popular sehinggalah ia telah diubah namanya kepada PocketZip dan penggunaannya pada pemain muzik MP3 Iomega HipZip. Selain itu terdapat sebuah lagi storan katrij kecil yang dikenali sebagai DataPlay dan ia mempunyai kapasiti sebanyak 500MB. DataPlay mempunyai salinan kawalan dan ia mungkin sesuai untuk lagu-lagu dan kandungan web.

Memori selamanya
Storan memori adalah penting walaupun kos sering menjadi isu utama di dalam pemilihan sesebuah storan. Kos pengeluaran memori flash semakin menurun iaitu 30% setahun dan ini akan memberikan perkembangan yang memberangsangkan kepada para pengguna. Teknologi memori pasti akan berkembang pesat dengan kepesatan yang meningkat dalam penggunaan peranti kecil seperti PDA, kamera digital, telefon bimbit dan komputer bimbit. Kini storan-storan media kecil seperti CompactFlash, Memory Stick dan SmartMedia juga digunakan pada pencetak dan pengimbas.
dari majalah pc #53 

Bagaimana Web bernyawa
Bayangkan maklumat yang anda akan terlepas jika sehari anda tidak melayari Internet. Kebanyakan antara kita mengambil ringan maklumat yang boleh didapati melalui perantaraan pelayar Web seperti ramalan cuaca, maklumat saham, muzik terkini dan berita semasa.
Kira-kira 3 tahun lalu, ia mengambil masa yang lama untuk mendapatkan maklumat-maklumat tersebut. Ada di antara berita yang dapat dicapai sudah lapuk dan bukan maklumat yang terkini. Banyak perubahan telah berlaku kepada keupayaan capaian Internet sehinggakan anda boleh mendapat maklumat dengan mudah dalam satu jangka masa yang pendek.
Segalanya adalah disebabkan oleh pelayar Web. Kewujudan WWW atau "World Wide Web" dan pelayar Web telah memungkinkan penggunaan Internet secara berleluasa serta mudah. Anda tentu tidak mahu melayari Web jika maklumat yang dipaparkan semata-mata teks dan tiada gambar atau grafik. Penggunaan grafik dan penggunaan tetikus untuk memandu arah mendorong pengguna melayari Internet untuk mendapatkan maklumat. Dalam lain erti kata lain, pelayar Web memainkan peranan sebagai media penghubung di dalam Internet.


Asas Pelayar Web
Anda perlu terlebih dahulu memahami teknologi disebalik Web, bagi membolehkan anda memahami bagaimana pelayar Web berfungsi.
Sebelas tahun yang lalu (1990), Tim Berners-Lee, yang ketika itu bekerja dengan CERN (pusat ujikaji fizik di Eropah) di Geneva, mendapat idea membolehkan manusia berkongsi pengetahuan dan kerja dengan bantuan dokumen bersambungkan hiperteks. Projek ini dipanggil WWW (World Wide Web) yang bermula di dalam tahun 1989. Pada Oktober 1990, Berners-Lee telah menulis perisian untuk pelayan Web dan pelayar Web yang pertama.
Hiperteks
Kunci utama kepada Web ialah hiperteks. Terma hiperteks mula diperkenalkan oleh Ted Nelson di pertengahan tahun 1960an. Hiperteks menyambungkan dokumen di dalam Web antara satu sama lain melalui hiperlink. Di dalam Web, sambungan hiper (hyperlink) merupakan kawasan di mana apabila diklik padanya ia akan membawa anda ke dokumen lain. Misalnya, sambungan hiper di dalam laman Web akan bergaris dan menandakan ia merupakan satu sambungan. Contohnya, sambungan hiper yang berlabel 'Profail', akan buka dokumen yang mengandungi profail anda apabila diklik.
Protokol
Apabila Berners-Lee mula membangunkan produk Web pertama, Unix merupakan sistem network yang digunakan. Secara piawai, TCP/IP (Transmission Control Protocol/Internet Protocol) menjadi protokol pilihan sambungan PC ke PC kerana ia boleh bersambungan kepada UNIX secara langsung. Pada masa itu, kesemua universiti dan agensi kerajaan telah pun menggunakannya. Faktor ini menyebabkan semua pelayan Web dan pelayar Web menggunakan TCP/IP dan ini telah menjadi piawai di dunia.
TCP/IP menyediakan sambungan antara mesin ke mesin, sementara pelayar Web menjalankan protokolnya sendiri ke atas sambungan ini. Protokol khas ini dinamakan Hypertext Transfer Protocol atau "http" yang digunakan pada alamat (URL) laman Web. HTTP menyediakan mekanisma untuk membuka laman Web dari pelayan Web dengan menggunakan pelayar Web.
Pelayan Web pertama hanya menyediakan teks hiperlink kepada pelayar Web. Pada masa itu tidak terdapat grafik dan animasi pada laman Web seerpti 'rollover button'. Laman Web ketika itu boleh dikatakan tidak terdapat sebarang grafik langsung. Walaupun terdapat perubahan yang radikal, namun konsep keseluruhan laman Web dan pelayar Web masih sama.
Pembikinan Laman Web. Laman Web sebenarnya hanya merupakan dokumen teks yang diatur di dalam set khas yang terdiri daripada 'tag'. Tag merupakan kod atau simbol yang memberitahu bagaimana laman Web harus diformat. Tag ini mendefinisikan dalam dokumen laman Web bagi mendefinasikan sama ada sesuatu teks perlu digelapkan, italik atau digaris, sama ada teks atau imej adalah hiperlink, dan sama ada grafik perlu dipamerkan. Untuk menulis dokumen teks atau laman Web yang menggunakan tag ini, anda perlu menggunakan peraturan HTML (Hypertext Markup Language).
Biasanya, tag adalah berpasangan, permulaan dan penamat tag yang diapit dengan tanda < >. Sebagai contoh, (permulaan tag) dan (penutup tag) merupakan pasangan tag yang anda perlu sertakan pada permulaan dan penamat setiap laman Web. Tanda 'foward slash' ( / ) pada tag penutup membezakan antara dua tag tersebut. Walaubagaimanapun sesetengah tag seperti imej dan hiperlink tidak memerlukan tag penutup.
Laman Web kini adalah sama seperti laman Web 10 tahun yang lalu, mengandungi dokumen teks yang mempunyai beratus-ratus tag yang mendefinisikan rupa bentuk laman Web tersebut. Jika anda hendak melihat tag HTML pada sesuatu laman Web, anda boleh berbuat demikian dengan memilih View > Source, jika anda menggunakan Internet Explorer. Jika anda menggunakan Netscape, anda boleh pilih View > Page Source. Satu tetingkap baru mempamerkan dokumen teks yang dibina menggunakan tag akan dibuka. Anda akan mendapati menyediakan kesemua kod di dalam satu laman Web secara manual bukanlah perkara mudah. Sebelum perisian bergrafik HTML diperkenalkan, kesemua kod disediakan menggunakan editor teks (Notepad).
Laman Web
Pelayar Web memainkan peranan untuk menjadikan teks dokumen ini sebuah laman Web berinteraktif yang dipenuhi dengan grafik dan pelbagai objek lain.
Tugas utama pelayar Web ialah untuk menterjemahkan dokumen HTML dan mempamerkan rupa bentuk laman Web kepada anda. Pelayar Web akan membaca dokumen teks, membaca kesemua tag, dan menterjemahkan tag berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh W3C (World Wide Web Consortium). W3C juga menerbitkan standard HTML untuk semua pembangun laman Web. Sejauh mana pembangun laman Web mematuhi peraturan ini menentukan bagaimana pelayar Web menterjemah sesuatu dokumen. Anda tentu pernah berhadapan dengan laman Web yang sama tetapi dipamerkan berbeza di dalam Internet Explorer dan Netscape. Ini semua bergantung kepada bagaimana pelayar Web mengendalikan tag tersebut.
Proses sebenar bagi mempamerkan sesuatu laman Web adalah lebih kompleks. Pelayar Web tidak hanya terus 'mengambil' laman Web yang lengkap dari pelayan Web untuk dipamerkan kepada pengguna. Ia perlu menjalankan analisa ke atas laman Web tersebut terlebih dahulu. Misalnya, pelayar Web perlu membaca dokumen tersebut dari tag ke , bagi menentukan aturan untuk membina struktur grafik sesuatu laman Web.
Di bawah ialah contoh tag asas yang terdapat di dalam sesuatu laman Web.



Memilih Pelayar Web
Anda mempunyai banyak pilihan untuk memilih pelayar Web untuk kegunaan melayari Web. Anda tidak perlu setia menggunakan pelayar Web yang terdapat dalam sistem operasi komputer anda. Sesetengah pelayar Web beroperasi menggunakan platform khas di mana ia hanya boleh berfungsi menggunakan sistem Sun Solaris atau BeOS. Pelayar Web lain seperti Opera dapat beroperasi menggunakan pelbagai platform.
Microsoft dan Netscape merupakan dua syarikat menguasai pasaran pelayar Web. Dua vendor mewakili 94% dari akaun bagi pasaran pelayar Web, di mana Microsoft Internet Explorer diwakili oleh 76% dari jumlah tersebut. Dua pelayar Web lain yang popular ialah Opera dan NeoPlanet, mewakili peratusan selebihnya.
Sungguhpun peratusan ini menunjukkan Microsoft sebagai dominan ke atas pasaran pelayar Web, anda tidak patut tidak mengindahkan pelayar Web lain. Pasaran ini berubah setiap masa, di mana Opera telah mengumumkan rancangan tentang rekaan terbarunya iaitu Opera 5 untuk Windows pada Disember 1, 2000. Ini merupakan pelayar Web Opera secara percuma yang pertama diperkenalkan, dan ini boleh mengubah kedudukannya di dalam persaingan yang terdapat antara pelayar Web.
Jadi, pelayar Web mana yang patut anda pilih? Jangan hanya menggunakan pelayar Web yang terkandung di dalam sistem komputer anda. Cubalah menggunakan pelayar Web lain dan lihat perbezaannya. Anda perlu ingat yang anda tidak terhad menggunakan satu pelayar Web sahaja. Lebih mudah menggunakan beberapa pelayar Web dalam satu masa kerana ia boleh membantu anda membuka seberapa banyak laman Web serentak.

Dunia Internet yang selamat?
Dunia Internet adalah sebuah dunia yang luas dan ia dipenuhi dengan pelbagai watak manusia. Namun tidak semua watak-watak ini baik dan ada di antaranya sering melakukan kekacauan serta menceroboh hak orang lain.


Pengodam (hacker) dan penyebar virus, boleh mendatangkan masalah besar kepada anda. Kebanyakan dari kita tidak mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjaga keselamatan komputer mereka dari virus, pengodam dan program-program Active X dan SkripJava yang meragukan.

Pelayar Web dan perisian e-mel yang tidak dilengkapi dengan antivirus yang tidak boleh menghindar virus dari merosakkan komputer anda. Anda akan berasa kecewa apabila mendapati komputer anda dijangkiti virus dan anda mungkin terpaksa mengeluarkan wang membaiki kerosakan akibat virus.

Anda perlu tahu tentang kelemahan ciri keselamatan yang terdapat pada pelayar Web dan perisian e-mel anda, dan belajar bagaimana mengatasi kelemahan tersebut supaya ia selamat apabila berada di dalam talian.
Kebanyakan pengguna komputer di rumah menggunakan Microsoft Internet Explorer atau Netscape Navigator untuk mendapat akses Internet. Kedua-dua pelayar Web ini mempunyai beberapa kawalan sekuriti tetapi ia juga mempunyai kelemahan. Perlindungan yang sedikit adalah lebih baik dari tiada perlindungan langsung.

Kebanyakan kawalan keselamatan yang terdapat di dalam Microsoft IE dan Netscape Navigator kurang penekanan kepada mengawal kemasukan virus ke komputer anda. Kebanyakan kawalan yang direka adalah untuk mengendalikan 'cookies', Active X dan Netscape JavaScript.
Active X dan SkripJava merupakan ancaman yang kuat kepada sekuriti komputer anda, walaubagaimanapun mereka tidak memberikan masalah besar seperti virus komputer. Kedua-duanya diprogram untuk meningkat kualiti laman Web dengan penambahan elemen seperti elemen multimedia atau penambahan fungsi-fungsi yang dapat memberikan daya tarikan kepada laman Web anda.
Pelayar Web anda boleh memindahterima dan menjalankan program ini apabila anda melawati laman Web yang mempunyai unsur-unsur Active X Atau SkripJava. Biasanya program ini adalah selamat bagi komputer anda. Akan tetapi, Stephen Gorrel, Pengurus Kanan bagi Symantec's Norton Internet Security, mengatakan penggunaan kod dalam kedua-dua program tersebut boleh memasuki sistem komputer pengguna, di mana ia boleh mendapat ekses dan membuat perubahan yang tidak sepatutnya di dalam sistem komputer pengguna. Dalam erti kata lain, seorang pengaturcara boleh mencipta Active X dan SkripJava yang mengandungi kod yang boleh merosakkan komputer anda.


Berapa besar ancaman yang diberikan?
Kawalan keselamatan bagi pelayar Web anda perlu dibuat supaya anda akan menerima mesej apabila anda memasuki laman Web yang menggunakan Active X, dan anda boleh membuat pilihan sama ada menerimanya ataupun tidak. Jika anda mengambil keputusan untuk tidak menerimanya, beberapa ciri yang terdapat pada laman Web tersebut tidak akan berfungsi.
Sesetengah Active X mempunyai tandatangan digital oleh syarikat pengeluarnya. Jika terdapat sebarang kerosakan pada Active X tersebut, anda boleh menjejaki pengeluar asal program tersebut. Apabila mesej sekuriti yang dipamirkan mengatakan program tersebut ditandatangani dan mengandungi nama syarikat pengeluarnya, anda boleh menerimanya. Tidak semua Active X ditandatangani.
Menurut Gorrell, Active X tanpa tandatangan memberikan ancaman lebih besar dari Active X yang mempunyai tandatangan. Dalam erti kata lain, anda tidak perlu ragu-ragu tentang Active X tetapi anda perlu berfikir dua kali sebelum menerima Active X yang tidak ditandatangani.

Program SkripJava biasanya selamat jadi anda tidak perlu ragu-ragu untuk membuka kandungan Java. Tetapi anda perlu ingat, masih terdapat kemungkinan kecil bahawa program SkripJava boleh membahayakan komputer anda.
Anda boleh memilih untuk memberhentikan program Java. Bagi anda yang menggunakan Navigator, klik pada Edit > Preferences. Klik Advanced yang terdapat pada bahagian bawah kotak dialog dan buangkan tanda pada Enable Java and Enable JavaScripts penentuans. Bagi anda yang menggunakan IE, anda perlu klik pada Tools > Internet Options. Klik pada tab Security dan seterusnya klik pada butang Customize Level. Skrol ke bawah sehingga anda melihat ruangan Java dan klik pada butang radio Disable Java.
Penentuan (setting) bagi sekuriti bagi pelayar Web anda perlu dibuat dengan betul sebelum ia memberi amaran apabila anda berhadapan dengan masalah.

Kawalan pelayar Web
IE. Klik Tools > Internet Option > Security. Anda akan melihat empat zon kandungan Web di mana anda boleh mengubahsuai penentuan: Internet, Local Intranet, Trusted Sites. Dan Restricted Sites. Kita akan menumpukan perhatian kepada penentuan Internet. Klik pada ikon Internet.
Anda akan mendapati "slider bar" pada bahagian kiri sebelah bawah kotak dialog di mana anda boleh tentukan tahap keselamatan bagi IE. Penentuan paling rendah ialah Low, dan anda boleh melihat huraiannya pada bahagian kanan slider. Penentuan ini membolehkan mana-mana Active X dan SkripJava dibuka secara otomatik. Anda tidak akan diberi amaran sekuriti jika anda memilih tahap ini, dan sudah semestinya anda tidak disarankan menggunakan penentuan ini. Jelas sekali semakin tinggi penentuan yang anda pilih semakin tinggi tahap sekuriti yang dijalankan.
Medium-Low - satu tahap lebih tinggi dari Low. Walaupun ia lebih selamat dari Low tetapi ia tidak menjamin apa-apa. Anda masih tidak akan diberi banyak amaran, dan kebanyakan program akan dibuka secara automatik. Perbezaan utama antara keduanya ialah, pelayar Web anda tidak akan membenarkan Active X tanpa pengenalan dibuka secara otomatik.

Medium - merupakan satu pilihan terbaik. Apabila anda memilih penentuan ini, anda akan diberi amaran dari pelayar Web anda sebelum sebarang Active X diterima. Ini akan memberikan anda kesempatan untuk menolak sebarang Active X yang mempunyai pengenalan diri dari dibuka pada komputer anda. Anda juga akan menerima notis sekuriti memberitahu anda memasuki tapak Web yang selamat ataupun tidak.
High - merupakan pilihan yang paling selamat, tetapi ia mempunyai beberapa halangan. Misalnya, pada penentuan ini, cookies tidak akan dibuka, dan ini mungkin menimbulkan kesulitan. Sebagai contoh terdapat beberapa tapak Web yang memerlukan anda memasukkan password sering menggunakan cookies untuk menyimpan username dan password anda supaya anda tidak perlu memasukkan username dan password anda setiap kali anda memasuki tapak Web tersebut. Jika anda memilih penentuan High, sudah tentu kemudahan ini tidak dapat anda gunakan.
Navigator
Klik pada ikon Security yang terdapat pada toolbar. Kotak dialog akan dibukan membolehkan anda mengubah beberapa penentuan. Klik pada Navigator yang berada sebelah kiri kotak dialog. Anda boleh memilih supaya amaran diberi apabila anda memasuki atau meninggalkan tapak encrypted. Anda perlu pastikan Advances Security (SSL) Configuration ditandakan.

Anda akan menerima mesej amaran apabila anda memasuki atau meninggalkan tapak yang mempunyai sekuriti. Mesej ini memberitahu anda yang darjah sekuriti dalam talian anda akan berubah. Dalam erti kata lain mesej ini memberitahu anda akan mengalami perubahan dari format standard HTTP iaitu format tidak enkrip ke format berenkrip HTTPS. Ikon mangga tertutup yang berada di bahagian paling bawah pada pelayar Web anda menunjukkan anda berada di dalam tapak Web yang mempunyai sekuriti tinggi.


Masalah dengan e-mel
Anda tidak perlu cemas jika mendapat mesej sekuriti, sebaliknya anda perlu merasa cemas jika program e-mel anda tidak mempunyai tahap keselamatan yang tinggi. Gorrell menyatakan e-mel merupakan perantaraan yang paling banyak digunakan untuk penyebaran virus. Ini kerana program e-mel jarang mempunyai kawalan keselamatan dan ini membolehkan virus masuk ke dalam klien e-mel anda dengan mudah.
Virus yang paling merbahaya seperti virus "I Love You", merupakan skrip yang terkandung di dalam e-mel "attachment". Apabila pengguna membuka "attachment", ini akan menghidupkan virus tersebut dan ia akan merosakkan sistem komputer anda. Tiada apa yang boleh anda lakukan setelah anda membuka attachment virus ini. Bagi pengguna Outlook anda akan berhadapan dengan satu lagi masalah besar. Ini ialah kerana virus-virus termasuklah virus "I Love You", boleh memasuki Outlook address book dan menghantar diri mereka sendiri ke setiap alamat e-mel yang tersenarai di dalam buku alamat anda.
Bagi anda yang menggunakan e-mel berasaskan Web tidak perlu risau tentang virus yang boleh mereplikasikan diri sendiri ke e-mel yang terdapat di dalam buku alamat anda. Menurut Gorrell, virus seperti "I Love You", direka khas bagi buku alamat Outlook. Jadi jika anda bukan pengguna Outlook anda tidak perlu risau. Sungguhpun begitu, pengguna e-mel berasaskan Web masih mempunyai kemungkinan diserang oleh virus yang berselindung disebalik attachment. Walaupun virus tersebut tidak mempunyai keupayaan untuk mereplikasikan diri mereka kepada pengguna lain, tetapi ia masih boleh menyebabkan kerosakan pada komputer anda.

Lindungi diri anda dari e-mel anda
Terdapat beberapa program yang boleh anda gunakan untuk melindungi e-mel anda. Program Antivirus seperti Symantec's Norton AntiVirus, boleh mengimbas mesej e-mel yang baru anda terima. Jika program antivirus tersebut dapat mengesan virus di dalam e-mel anda, ia membuangnya dan akan memberi amaran kepada anda yang virus telah dijumpai. Gorrell menyarankan setiap pengguna Internet menggunakan program antivirus untuk melindungi komputer anda dari e-mel yang dijangkiti virus. Bagi pengguna e-mel Web-based, Hotmail merupakan pilihan terbaik. Hotmail menggunakan program McAfee untuk mengimbas "attachment" di dalam e-mel sebelum anda membukanya.
Gorrell juga menyarankan anda menggunakan firewall untuk melindungi komputer anda ketika berada di dalam talian. Firewall merupakan program sekuriti yang direka untuk melindungi komputer anda daripada pengodam. Firewall merupakan penghalang bagi pengodam, tetapi bagi pengodam yang bersemangat kuat boleh menembusi program firewall komersial. Kenapa? Ini kerana tidak ramai pengguna mengambil langkah-langkah keselamatan apabila berada di dalam talian menyebabkan mereka menjadi sasaran yang mudah.
Setiap pengguna perlu sentiasa mendapatkan perisian terkin bagi pelayar Web mereka. Kadangkala pengeluar dapat mengesan kelemahan pada kod keselamatan pelayar Web mereka. Anda boleh membaiki kelemahan tersebut dengan memindahterima perisian tambahan. Melayari laman Web dan menggunakan e-mel merupakan aktiviti yang paling biasa dilakukan oleh pengguna komputer. Perlu anda sebagai pengguna komputer ingat bahawa aktiviti ini terdedah kepada beberapa masalah. Jadi anda perlu mengambil langkah-langkah yang terbaik untuk melindungi komputer anda.